SARATOK: Kerja penyelenggaraan dan baik pulih jalan utama yang menghubungkan Kampung Paloh, Batang Maro dan Perpat dijangka dilaksanakan sebelum sambutan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, beliau menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini bagi memohon agar jalan tersebut diselenggara segera memandangkan ia merupakan laluan utama penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, keadaan jalan itu perlu diberi perhatian kerana ia akan digunakan oleh lebih ramai orang apabila anak perantau pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.
Sehubungan itu, Kaunselor Saee Ason yang mewakili beliau bersama wakil kawasan N.29 Batang Maro serta JKR Saratok turun meninjau keadaan semasa jalan berkenaan, semalam.
Lawatan tersebut turut melibatkan perbincangan bersama Ketua-Ketua Masyarakat, Ketua Kampung serta Tuai Rumah.
Mohamad Duri berkata beberapa kaedah penyelesaian turut dibincangkan bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan.
