Kerajaan ambil langkah berjaga-jaga hadapi kesan perang di Teluk

KUCHING: Kedudukan ekonomi dan kewangan yang baik dijangka membantu negara ini bertahan menghadapi kesan peperangan membabitkan negara Iran di Teluk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, berikutan itu negara ini perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya perang terbabit berlarutan.

“Kita melihat di rantau ini, kita mampu bertahan tapi pada masa sama kita kena mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berdepan surcaj bahan api dalam penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada kos perjalanan rakyat di negara ini, termasuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N7 Samariang di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N7 Samariang, Petra Jaya di sini, hari ini.

Seramai 150 penerima dalam kawasan Dewan Undagan Negeri (DUN) Samariang menerima sumbangan di majlis itu yang juga dihadiri Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, negara ini masih mempunyai bekalan minyak dan gas mencukupi dan Petronas sudah pun mengenalpasti semua alternatif memperoleh bekalan itu termasuk dari Australia dan negara lain yang tidak melalui perairan Teluk.

Menurutnya, antara kesan peperangan di Teluk ialah kenaikan harga barangan terutama yang diimport kerana kenaikan kos insuran dan logistik akibat kenaikan harga minyak.

Di samping itu, beliau diberitahu Tabung Haji sudah berunding dengan syarikat penerbangan.

“Ini membabitkan kos terutamanya penerbangan menunaikan ibadah haji.

“Itu sedang dibincangkan dengan semua syarikat penerbangan. Apanya keputusan nanti biarlah diumumkan oleh Tabung Haji ,”tambahnya.

Beliau juga mendedahkan Perdana Menteri telah dihubungi pemimpin sekitar negara Teluk untuk menjadi mediator rundingan yang diharapkan menyelesaikan konflik di kawasan Teluk atau sekurangnya perairan Hormuz dibenarkan dibuka untuk pengangkutan kapal.