Sumbangan Ramadan bantu sokong aktiviti keagamaan, kemasyarakatan

DARO: Sebanyak 21 masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro menerima sumbangan dana berjumlah RM123,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan serta persiapan Hari Raya tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad menyampaikan sumbangan tersebut pada Majlis Iftar Jalinan Ukhwah 2026M/1447H anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) Masjid Al-Muhsiniin Daro di Masjid Al-Muhsiniin, semalam.

Safiee berkata, diharap sumbangan tersebut dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan bagi mengimarahkan bulan Ramadan, di samping membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Katanya, institusi masjid dan surau memainkan peranan penting sebagai pusat penyatuan ummah serta medium bagi memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

“Masjid dan surau bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah turut menjadi pusat kegiatan masyarakat yang mampu memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Tambahnya, program berbuka puasa seperti ini juga menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, di samping memupuk nilai perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; Pegawai Daerah Daro, Zul Usup; Jurutera Daerah JKR Daro, Faizol Hasim; wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Matu Daro, Inspektor Daneil Paulus; wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daro, Ismail Majelis; serta Pemanca Lau Oi Phen.