Majlis ‘bersungkey’ perkukuhkanperpaduan, himpunkan masyarakat

KUCHING: Kira-kira 110 tetamu jemputan pelbagai latar belakang masyarakat menghadiri majlis bersungkey anjuran Senator Dato’ Ahmad Ibrahim di Kenyalang Cafe Raia Hotel, di sini, malam ini.

Penganjuran majlis tersebut menurut beliau merupakan tradisi yang dilaksanakan lebih 20 tahun lalu oleh beliau di pelbagai lokasi sekitar Kuching.

Ia bertujuan mengeratkan silaturahim serta memupuk persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama, NGO, pemimpin komuniti dan agensi kerajaan.

“Majlis seperti ini bukan sesuatu yang baharu kerana pemimpin Sarawak sejak dahulu lagi mengamalkan budaya menghimpunkan masyarakat khususnya ketika musim perayaan.

“Ia sebagai platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian,” tambahnya ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa tersebut.

Tambahnya, Sarawak amat dikenali sebagai negeri yang unik dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama yang hidup bersama dalam suasana harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Di Sarawak, kita bukan sekadar hidup bersama, malah kita turut meraikan perayaan bersama.

“Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan Krismas disambut meriah oleh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Kepelbagaian tersebut merupakan satu nilai yang amat berharga dan perlu terus dipelihara bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian selaku tetamu kehormat, Dato Ir. Lo Khere Chiang dan Wilfred Yap.
.