Belia penerus masa depan negara

LAWAS: Belia terutama di Lawas disaran turut sama memainkan peranan sebagai penyambung masa depan negara dengan memupuk semangat tanggungjawab bersama demi membangunkan masyarakat yang lebih sejahtera.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif serta dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya berharap belia memainkan peranan sebagai penyambung masa depan negara dengan memupuk semangat tanggungjawab bersama demi membangunkan masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2026/1447 Masihi anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas di sini, semalam.

Menurutnya, nilai tolong-menolong dan keprihatinan dalam masyarakat perlu terus dipupuk agar kebahagiaan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan.

“Semoga sumbangan ini membawa keceriaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dalam kita menyambut Aidilfitri,“ ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, berkata program berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan platform untuk memupuk semangat kebajikan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

“Kami amat menghargai keprihatinan para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha kebajikan PERKIM Lawas, sekali gus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program kebajikan pada masa akan datang”, katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 1,249 penerima daripada empat kategori telah menerima sumbangan iaitu 171 orang anak yatim, 186 orang ibu tunggal, 150 orang kanak-kanak OKU dan 782 warga emas.