Mangsa kebakaran Taman Sentosa Indah dibantu

SIMANGGANG: Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran yang menimpa sebuah keluarga di Taman Sentosa Indah, Lorong 1 baru-baru ini mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyalurkan sumbangan.

Menurut Dayang Noorazah, kunjungan tersebut untuk menyampaikan sumbangan serta memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa yang sedang melalui saat sukar selepas tragedi kebakaran yang mengorbankan seorang kanak-kanak.

Beliau berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa selain menunjukkan bahawa masyarakat dan pemimpin setempat sentiasa prihatin terhadap nasib mereka.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran, Dayang Siti Mahfuzah Abang Mohd Sanwani yang mengalami kecederaan pada kaki.

Mangsa turut berdepan ujian berat apabila bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan anak tersayang selain masih bersedih dengan pemergian bapanya baru-baru ini.

Dayang Noorazah turut menyampaikan kata-kata semangat serta sokongan moral agar mangsa terus tabah dan kuat menghadapi dugaan yang menimpa dirinya serta keluarga.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas ditemui rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Sentosa Indah, Lorong 1 pada awal pagi 7 Mac lalu, manakala lima lagi ahli keluarga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur ketika cuba menyelamatkan diri.