Penerima SKAS perlu bijak berbelanja

SIBU: Penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dinasihat supaya menggunakan bantuan itu dengan sebaiknya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

“Tahun ini, nilai bantuan bagi kategori isi rumah dinaikkan daripada RM800 kepada RM950.
Bagi kategori warga emas dan mahasiswa pula, bantuan meningkat daripada RM400 kepada RM500, manakala bagi kategori bujang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

“Peningkatan jumlah bantuan tersebut diharap dapat membantu rakyat memenuhi keperluan asas harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran SKAS 2026 peringkat DUN Dudong di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, petang tadi.

Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.