Persembahan Great British Circus mulai 20 Mac-26 April depan

KUCHING: Persembahan Great British Circus akan kembali ke Sarawak tahun ini dengan produksi baharu yang menawarkan hiburan bertaraf antarabangsa kepada penonton.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jelajah tersebut dijadual berlangsung dari 20 Mac hingga 26 April di Dataran Perayaan, Petra Jaya, di sini sebelum bergerak ke beberapa bandar lain.

“Penganjuran acara seperti ini membantu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi seni, hiburan dan pelancongan serantau,” katanya pada sidang media di sini.

Sarkas dari United Kingdom itu pernah mengadakan persembahan di Sarawak pada 2024 dan berjaya menarik kira-kira 40,000 penonton di Kuching, Miri dan Sibu. Sambutan positif itu mendorong pihak penganjur kembali dengan konsep persembahan yang lebih baharu.

“Selain Kuching, jelajah ini turut melibatkan bandar Sibu, Miri dan Bintulu, dengan Bintulu menjadi lokasi baharu bagi edisi Sarawak 2026,” katanya.