PULAU BRUIT: Keupayaan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bantuan adalah hasil
pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui pemimpin-pemimpin bertanggungjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang fokus memajukan negeri dalam pelbagai aspek.
Hasilnya, beliau berjaya meletakkan Sarawak sebagai antara negeri berpendapatan tinggi di Malaysia, katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, Kerajaan Sarawak membelanjakan lebih RM600 juta setiap tahun bagi melaksanakan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sebagai usaha berterusan membantu rakyat yang memerlukan.
”Selain SKAS, terdapat pelbagai lagi bantuan yang dilaksanakan termasuk bantuan kepada mahasiswa anak Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi kawasan DUN N42 Semop di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkongsi pengalaman menyampaikan taklimat kepada beberapa pemimpin dari Semenanjung Malaysia baru-baru ini, di mana beliau memperkenalkan tagline baharu Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) iaitu “Negeri lain tak buat, Sarawak buat.”
Tegasnya, slogan tersebut mencerminkan keunikan serta keupayaan Sarawak dalam melaksanakan dasar dan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur, beliau turut menyentuh pembukaan Jambatan Batang Igan yang kini boleh digunakan mulai semalam selepas lebih dua dekad penduduk bergantung kepada perkhidmatan feri.
“Projek pembinaan jambatan ini pernah dibatal Kerajaan Persekutuan pada 2018, namun kini menjadi bukti kesungguhan Sarawak dalam merealisasikan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh. – UKAS
