Projek naik taraf jalan Kampung Semalatong Baru siap

SIMUNJAN: Projek naik taraf jalan, baik pulih masjid serta kemudahan lain melalui peruntukan kerajaan siap dilaksanakan di Kampung Semalatong Baru, di sini.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Safiee berkata, projek naik taraf Jalan Kampung Semalatong Baru itu melibatkan laluan sepanjang 0.2 kilometer dengan lebar 4.2 meter.

“Saya berharap kemudahan jalan ini dapat memudahkan pergerakan penduduk serta menyokong aktiviti harian dan ekonomi masyarakat kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 Parlimen Batang Sadong di sini, semalam.

Beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai berjumlah keseluruhan RM12,500 kepada 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf, OKU, warga emas dan anak yatim di Masjid Nurul Islam, Kampung Semalatong Baru.

Menurutnya, projek baik pulih Masjid Nurul Islam Kampung Semalatong Baru melibatkan kerja-kerja membaiki siling, atap dan jubin.

Selain itu, pembekalan dua set kanopi lengkap dengan meja dan kerusi turut disalurkan kepada kampung berkenaan.