Sarawak, China perkukuhkan hubungan melalui penerbangan terus Kuching–Guangzhou

KUCHING : Sarawak terus memperkukuh hubungan udara antarabangsa dengan China melalui pelancaran penerbangan terus berjadual antara Kuching dan Guangzhou.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, laluan baharu itu dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat antara Sarawak dan China.

Pada masa sama katanya, mengukuhkan peranan Kuching sebagai pintu masuk penerbangan antarabangsa yang semakin berkembang.

“Laluan udara ini akan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam meningkatkan interaksi ekonomi dan sosial antara Sarawak dan China,” katanya dalam kenyataan media program penerimaan ketibaan penerbangan sulung laluan tersebut yang dikendalikan Batik Air Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Penerbangan OD663 yang membawa 145 penumpang dari China mendarat kira-kira jam 7.30 pagi dan disambut dengan upacara semburan air menandakan permulaan laluan antarabangsa baharu itu.

Tambah beliau, laluan tersebut turut memberi manfaat kepada pengembara perniagaan dengan menyediakan akses perjalanan yang lebih mudah dan lancar, sekali gus membuka ruang kepada peluang ekonomi dan pelaburan yang lebih luas.

Inisiatif ini juga merupakan langkah awal penting ke arah mewujudkan penerbangan terus berjadual tetap antara Kuching dan Guangzhou pada masa hadapan.

Penerbangan dari Kuching dijadual berlepas setiap Selasa dan Sabtu pada jam 10.20 malam (OD662) dan tiba di Guangzhou pada jam 2.20 pagi keesokan hari.

Manakala, penerbangan dari Guangzhou akan berlepas setiap Rabu dan Ahad pada jam 3.20 pagi (OD663) dan tiba di Kuching pada jam 7.20 pagi.

Lee Kim Shin diwakili Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang.