KUCHING: Penerbangan sulung pesawat Syarikat Batik Air dari China ke Kuching Sarawak membuktikan Sarawak terus menjadi pilihan pelancong luar negara untuk bercuti.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, penerbangan OD663 berlepas dari Guangzhou China membawa 145 penumpang itu membuktikan potensi Sarawak sebagai destinasi pilihan pelancongan.
“Pembukaan laluan menghubungkan Guangzhou dan Kuching menjadi tanda penting dalam memperkukuh jaringan Sarawak dengan pasaran antarabangsa, khususnya dari rantau Asia.
“Tempoh penerbangan sekitar 3 jam 45 minit merupakan satu kelebihan besar bagi menarik lebih ramai pelawat ke Bumi Kenyalang,” katanya semasa ditemui media selepas majlis sambutan ketibaan penerbangan sulung Batik Air dari Guangzhou ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.
Tambah beliau, dengan promosi Sarawak yang berterusan dari pelbagai pihak dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke Sarawak sekali gus merancakkan ekonomi di negeri ini.
Kementerian mereka juga sedang berusaha untuk membawa masuk lebih banyak destinasi baharu mendarat di Sarawak di masa akan datang, katanya.
