BETONG: Pembinaan Jambatan Sungai Krian bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan kawasan pesisir apabila projek infrastruktur itu kini memasuki fasa penting menerusi majlis prapelancarannya hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan Jalan Pesisir Sarawak di bawah Pakej D4 yang bertujuan meningkatkan jaringan perhubungan di luar bandar dan pesisir negeri ini.
“Pelaksanaan projek tersebut dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana utama bagi memastikan kelancaran setiap peringkat pembinaan,” katanya.
Pembinaan jambatan itu diamanahkan kepada kontraktor EPR (Kuching) Sdn. Bhd. dengan nilai projek melebihi RM112 juta.
Menurut beliau, panjang keseluruhan jambatan berkenaan 1.227 kilometer (km) termasuk struktur utama sepanjang 690 meter (m) dengan 12 bentangan, serta dilengkapi dua lorong utama dan jalan pendekatan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna.
“Apabila siap kelak, ia bukan sahaja menyediakan laluan alternatif menghubungkan Jambatan Batang Saribas No.2 ke persimpangan Roban di Lebuhraya Pan Borneo.
“Pada masa sama, ia dijangka dapat memendekkan masa perjalanan, mengurangkan kebergantungan kepada feri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan setempat,” katanya.
