Jangan lakukan pembakaran terbuka

KUCHING: Rakyat di negeri ini dinasihat tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan cuaca kering sekarang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, keadaan cuaca kering berpanjangan meningkatkan risiko kebakaran terbuka, memerlukan perhatian serius semua pihak.

“Sebab itulah kita akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang mana setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan alam sekitar sentiasa dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis terbuka Hari Aidilfitri beliau di kediaman rasminya di Demak Laut hari ini.

Len berkata, Kerajaan Sarawak juga akan memperkenalkan sistem pengurusan sisa pepejal sebagai mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah di negeri ini.

“Kajian akhir sedang dilaksanakan dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan dan mungkin kita dapat mengurangkan tapak pelupusan sampah,” katanya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii.