Bekalan bahan api terkawal, sumber tambahan dipertimbang jika perlu

KUCHING: Sumber tambahan bekalan bahan api dari rantau Asia Pasifik akan dipertimbangkan jika berlaku kekurangan bekalan itu di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Amar Fadillah Yusof berkata pengeluaran dan pembekalan bahan api negara berada di bawah bidang kuasa Petroliam Nasional Berhad (Petronas), dengan sokongan syarikat lain seperti Shell dan Petron.

Menurutnya, secara keseluruhan, Petronas memberi jaminan bahawa bekalan tenaga itu masih mencukupi untuk memenuhi keperluan Sarawak, Sabah dan Semenanjung ketika ini.

“Sekiranya berlaku kekurangan, sumber tambahan dari rantau Asia Pasifik dan pasaran antarabangsa akan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2026 Kampung Semariang Batu, di sini, malam tadi.

Fadillah berkata, Sarawak dilihat dalam kedudukan lebih selesa hasil peralihan kepada tenaga hijau khususnya tenaga hidro.

Katanya, tenaga hidro yang kini menyumbang kira-kira 60 peratus kepada penjanaan elektrik negeri selain tenaga solar, gas dan arang batu sebagai sumber sokongan.

Menurutnya, kebergantungan rendah terhadap minyak untuk penjanaan kuasa menjadikan Sarawak kurang terkesan dengan turun naik harga bahan api global.