KUCHING: Kerajaan memperkukuh tahap kesiapsiagaan ketika negara berdepan cuaca panas dengan mengutamakan perlindungan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Katanya, perlindungan itu merangkumi sekolah serta dalam persekitaran keluarga.
“Garis panduan awal dikeluarkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk kelonggaran kepada pelajar untuk memakai pakaian sukan ke sekolah serta galakan membawa bekalan air bagi mengelakkan risiko dehidrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Riang Raya Syawal Bank Rakyat Rizq Plus di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Nancy menegaskan, keadaan cuaca panas berpanjangan memerlukan tindakan proaktif semua pihak, terutamanya ibu bapa, dalam memastikan kebajikan anak-anak terus terpelihara.
Katanya, langkah itu bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan kepada anak terbabit.
“Kanak-kanak juga perlu diberi penerangan mengenai risiko cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan,” katanya.
Menyentuh penjagaan kanak-kanak di taska, beliau berkata golongan itu umumnya berada dalam persekitaran terlindung dan tidak digalakkan menjalankan aktiviti luar ketika cuaca panas.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggerakkan seramai 4,785 petugas di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi susulan cuaca panas.
Seperti pengurusan bencana banjir katanya, JKM turut menggembleng tenaga kerja bagi situasi cuaca panas, termasuk menyediakan sokongan kaunseling dan psikologi kepada individu yang terkesan,” jelasnya.
Sementara itu, Bank Rakyat Cawangan Matang Jaya menyumbang RM30,000 kepada golongan asnaf kepada Parlimen Santubong yang diterima Nancy selaku Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Sumbangan itu akan diagihkan kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Santubong, dengan setiap kawasan menerima RM10,000.
