Cita rasa Melanau himpunkan warga perantauan, martabatkan warisan

KUCHING: Pesta Mini Makanan Tradisi Melanau 2026 menjadi wadah memartabatkan warisan masyarakat Melanau serta mengukuhkan hubungan komuniti di perantauan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, walaupun berada jauh dari kampung halaman, semangat untuk mengekalkan identiti sebagai warga Dalat, Oya dan Kut terus kekal utuh dalam kalangan komuniti tersebut.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Mini Makanan Tradisi Melanau 2026 Cafe di Seven on Seven Matang di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Warga Dalat, Oya dan Kut (EDOK) Kuching, Dato’ Dr Malike Mahli.

Program anjuran Persatuan Warga eDOK Kuching itu berjaya menghimpunkan masyarakat Melanau khususnya dari Dalat, Oya dan Kut bagi meraikan keunikan budaya serta makanan tradisi yang diwarisi turun-temurun.

Penganjuran program bertemakan “Cita Rasa Melanau: Legasi Dalat, Oya & Kut” membuktikan bahawa makanan bukan sekadar keperluan harian, sebaliknya menjadi medium penting dalam menghubungkan generasi muda dengan akar budaya mereka.

Selain memperkenalkan pelbagai hidangan tradisi berasaskan sagu dan hasil laut, program itu turut memberi penekanan kepada kepentingan memelihara sumber alam, khususnya pokok rumbia yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat Melanau.

Program tersebut dilihat sebagai platform terbaik dalam memelihara warisan, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan sumber alam serta menggalakkan pertukaran budaya antara generasi.

Dalam masa sama, usaha mempromosikan makanan tradisi ini juga berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancongan, sekali gus memperkenalkan keunikan budaya Sarawak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.