Memajukan ekonomi negara satu jihad

KUCHING: Rakyat harus menguasai ilmu, kemahiran dan bersikap positif jika mahu mencapai ekonomi maju, kata Timbalan Perana Menteri.

Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan, untuk mencapai ekonomi maju, rakyat juga harus menjadi pencipta dan bukan sekadar pengguna.

“Perjuangan memajukan ekonomi negara dan memakmurkan rakyat adalah satu daripada jihad,” katanya merasmikan Kongres Jihad Bisnes 2026 di Dewan Mutiara Tinggian Demak di sini, hari ini.

Fadillah berkata, jihad ekonomi bukan hanya tanggungjawab kerajaan melalui dasar mesra perniagaan, tetapi perlu disambut oleh seluruh masyarakat termasuk NGO, agensi pelaksana, usahawan dan individu.

Justeru, katanya, konsep jihad ekonomi perlu terus diperkasakan sebagai usaha kolektif bagi memperkukuh kedudukan ekonomi umat, masyarakat serta negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.

Jihad bukan sekadar berkaitan peperangan, sebaliknya merangkumi perjuangan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan martabat agama, bangsa dan kesejahteraan rakyat, tegas beliau.

Dalam konteks semasa katanya, jihad ekonomi memainkan peranan penting selaras hala tuju pembangunan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri yang kini memfokus kepada pembangunan ekonomi digital, keusahawanan serta pengukuhan wakaf korporat.

Katanya, kekuatan sesebuah negara bergantung kepada kestabilan ekonomi yang kukuh kerana melalui ekonomi yang mampan, kerajaan mampu membangunkan negara serta membantu rakyat secara berterusan.

Beliau turut menjelaskan, Malaysia ketika ini masih berada dalam perangkap ekonomi pertengahan dan perlu beralih kepada ekonomi bernilai tinggi melalui penguasaan ilmu, kemahiran serta inovasi.

Sehubungan itu, Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan modal insan termasuk penyediaan pendidikan percuma di universiti milik negeri bagi melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan matematik.

Selain itu, aspek keterjaminan makanan turut menjadi sebahagian daripada jihad ekonomi apabila negara masih bergantung kepada import makanan tertentu walaupun mempunyai potensi pengeluaran tempatan yang besar.

Beliau turut menekankan peluang luas dalam sektor perkhidmatan, kewangan, tenaga dan air yang memerlukan penglibatan lebih ramai pemain tempatan melalui inovasi teknologi dan kerjasama strategik.

Dalam sektor tenaga misalnya, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar membuka peluang pelaburan baharu, manakala sektor air pula menawarkan ruang inovasi bagi mengurangkan kerugian akibat kebocoran sistem bekalan air.

Pada masa sama, kerajaan juga sentiasa memantau perkembangan ekonomi global termasuk konflik antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada harga tenaga, logistik dan kos sara hidup rakyat.

Justeru, langkah kesiapsiagaan ekonomi dan penjimatan tenaga sedang dilaksanakan bagi memastikan kestabilan negara serta mengelakkan krisis bekalan dan ekonomi pada masa hadapan.

Beliau menegaskan bahawa semangat jihad ekonomi perlu bermula daripada diri sendiri dengan niat yang ikhlas demi kesejahteraan keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

“Perjuangan ini bukan untuk kepentingan individu semata-mata, tetapi untuk memastikan negara terus aman, maju dan makmur agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya.

Hadir sama isteri Fadillah, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Dato Mohammad Sahar Mat Din, Timbalan Presiden DPIM merangkap penasihat DPIM Sarawak, Dato Dr. Salihin Abang dan Pengerusi DPIM Negeri Sarawak, Abdillah Dolhan.

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada usahawan menghadiri kongres tersebut.