Projek pasang lampu jalan pesisir Tanjong Datu dijangka siap 2027

LUNDU: Projek Pemasangan Lampu Jalan Pesisir Pantai N.3 Tanjong Datu di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Greater Kuching (GKCDA) di sini dijangka siap pada 26 Mac 2027.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kos projek melebihi RM3 juta itu bermula 27 Mac 2025 dengan pemasangan sebanyak 2,250 tiang lampu di sepanjang 101.25 kilometer (km).

Katanya, projek juga merangkumi penyambungan kabel, talian atas Voltan Tinggi (HT), talian atas Voltan Rendah (LT), serta distribution transformer.

“Ant​ara lokasi kluster ialah Jalan Sematan – Telok Melano. Jalan Pekan Lundu – Kampung Pugu.​ l Jalan Rabungan – Kampung Temelan dan Pekan Sematan – Kampung Pueh Kenek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pemantauan ke tapak projek di bawah GKCDA di sekitar Daerah Lundu, di sini, hari ini.

Azizul berkata, selain itu ​Projek Naiktaraf Town Square di pusat bandar Lundu siap sepenuhnya 30 April lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM629,784 dan tempoh pembinaan selama 12 bulan.

Beliau turut meninjau tapak cadangan bagi projek Padang Futsal Berbumbung di Kampung Sampadi yang dicadangkan dibina berdekatan Masjid Kampung Sampadi bagi kegunaan golongan belia.

​Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datu Ik Pahon Joyik, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Pegawai Khas ADUN N.3 Tanjong Datu, Khairul Datuk Sapuan dan Pemanca Jumahdi Sabian.