SARATOK: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memperkukuhkan pembangunan akar umbi menerusi pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dan DUN Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, inisiatif itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri memastikan pembangunan seimbang dan inklusif, khususnya di luar bandar.
Menurutnya, antara projek utama yang dinanti-nantikan ialah kerja perlindungan tebing sungai serta pembinaan Tebingan Sungai Krian Saratok.
Katanya, projek berskala besar di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu dijadual bermula tahun ini, sekali gus merealisasikan hasrat penduduk untuk melihat kawasan tebing sungai dinaik taraf.
“Dengan anggaran kos RM91.2 juta, projek ini bukan sahaja meningkatkan nilai estetika, malah berperanan melindungi tebing sungai daripada hakisan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, projek tersebut dijangka menjadi mercu tanda baharu Pekan Saratok, memperindahkan landskap bandar serta menghidupkan semula kawasan pusat perniagaan.
