Bekalan air bersih Saribas perlukan tindakan segera

SARIBAS: Isu ketiadaan bekalan air bersih di beberapa kawasan di sini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, cabaran tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kesejahteraan dan kesihatan penduduk, khususnya di kawasan seperti Kampung Tuie.

Menurutnya, masalah gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku memerlukan tindakan segera dan bersepadu daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Isu ini sering berlaku dan memerlukan perhatian serta tindakan sewajarnya. Saya tidak hanya mendengar, tetapi akan memantau secara langsung masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Tuie yang berlangsung di Dewan Mohd Mantassim, malam tadi. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

Dalam masa sama, beliau memohon penduduk agar bersabar dalam menghadapi cabaran berkenaan sementara usaha penyelesaian dilaksanakan oleh pihak berwajib.