PUTRAJAYA: Industri hidrogen, petrokimia, pengilangan, aeroangkasa dan semikonduktor, mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain itu, usaha memperkukuh keterjaminan makanan melalui pembangunan sektor pertanian komersial turut diberi penekanan sebagai langkah strategik dalam memastikan kestabilan bekalan makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.
“Pendekatan pembangunan inklusif dan mampan adalah penting bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat Bumiputera, khususnya di Sarawak,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).
Mesyuarat bilangan pertama 2026 itu berlangsung di Dewan Persidangan ICU, JPM Bangunan Putra itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera agar kekal berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa dan masa hadapan.
Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai strategi dibincang bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi utama terus diperkasakan melalui pendekatan yang lebih tersusun, berfokus dan berimpak tinggi.
Awang Tengah menegaskan kepentingan memperluas penglibatan Bumiputera Sarawak dalam sektor berpotensi tinggi atau High-Growth High Value (HGHV), selaras dengan perubahan landskap ekonomi global dan keperluan pembangunan Sarawak.
Segala inisiatif yang dibincangkan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang mensasarkan Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, katanya.
