Jambatan Batang Lupar simbol penyatuan masyarakat pesisir

MALUDAM: Pembinaan Jambatan Batang Lupar yang kini giat dilaksanakan bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya menjadi simbol penyatuan masyarakat di kawasan pesisir Sarawak.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, jambatan itu disifatkan sebagai ‘jambatan silaturrahim’ yang bakal merapatkan kembali hubungan kekeluargaan yang sebelum ini terpisah oleh Sungai Batang Lupar.

Menurut beliau, jambatan tersebut akan menamatkan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri yang selama ini menjadi satu-satunya penghubung utama.

Katanya, apabila siap kelak, penduduk tidak lagi terikat dengan jadual operasi feri, malah boleh bergerak pada bila-bila masa termasuk dalam situasi kecemasan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri di Dewan Serbaguna Maludam yang turut dihadiri ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum ini perjalanan ke Kuching mengambil masa panjang melalui Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), malah pergerakan turut terhad apabila operasi feri dihentikan pada waktu malam.

Dalam masa sama, beliau menegaskan jambatan tersebut dijangka membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat melalui akses pasaran yang lebih luas dan efisien bagi produk luar bandar.