KUCHING: Penyakit batuk kering (TB) kekal sebagai penyakit berjangkit di Sarawak dengan jumlah kes tahunan konsisten iaitu sekitar 2,800 hingga 3,000 kes setiap tahun bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, berdasarkan sumber kesihatan, walaupun kadar rawatan menunjukkan kejayaan melebihi 90 peratus, cabaran utama dalam menangani TB adalah dari segi pengesanan awal, terutama di luar bandar dan pedalaman.
“Batuk kering sering sukar dikesan kerana wujud dalam dua bentuk utama iaitu batuk kering aktif dan batuk kering laten,” katanya pada sidang media berhubung Persidangan Kesatuan Antarabangsa Menangani Penyakit Batuk Kering dan Paru-paru Wilayah Asia Pasifik Ke-11 (APRC) 2028 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bagi kes batuk kering aktif, pesakit menunjukkan simptom dan boleh menjangkiti orang lain dan batuk kering laten, bakteria berada dalam badan tanpa simptom, tetapi boleh menjadi aktif apabila sistem imun lemah.
Keadaan ini menjadikan penyakit berkenaan tersembunyi dan sukar dikenal pasti tanpa saringan khusus, tegas beliau.
Selain itu, katanya, faktor sosial dan ekonomi seperti kemiskinan serta kekangan akses kepada fasiliti kesihatan menyebabkan ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan, sekali gus meningkatkan risiko penularan.
Situasi ini boleh menjadi serius apabila satu kes tidak dikesan awal, berpotensi menjangkiti sehingga 20 individu dalam tempoh setahun, katanya.
Pendekatan pengesanan kini turut dipertingkatkan dengan penggunaan ujian kahak (sputum), X-ray dada dan teknologi baharu seperti PCR, kata Dr. Sim.
Malah, tambahanya, inisiatif saringan mudah alih turut dilaksanakan dengan membawa peralatan X-ray ke kawasan kampung bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat diperiksa tanpa perlu ke hospital.
Pakar kesihatan turut mengingatkan batuk kering, katanya, bukan hanya menjangkiti golongan berpendapatan rendah, malah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk petugas kesihatan, terutama apabila sistem imun menurun.
Kesedaran awam menjadi aspek kritikal, memandangkan ramai tidak menyedari mereka dijangkiti sehingga penyakit menjadi aktif.
