Kerjasama strategik bangunkan ekonomi Sarawak

SINGAPURA: Mesyuarat antara wakil TotalEnergies bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini membuahkan hasil positif bagi menerokai jalinan kerjasama kukuh dalam memajukan rancangan peralihan tenaga dan kelestarian ekonomi di Sarawak.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berada di sini untuk menghadiri Ekspo Makanan dan Hospitaliti Asia 2026 yang turut disertai oleh 19 syarikat dari Sarawak.

Mesyuarat itu bagi menjayakan komitmen bersama menerokai kekayaan sumber Sarawak dan kapakaran global TotalEnergies.

Perbincangan pada mesyuarat itu berkisar kepada topik berkaitan tenaga yang mendedahkan perkongsian visi untuk kelestarian masa depan.

Topik yang dibincangkan merangkumi peralihan dan tenaga diperbaharui, sektor minyak dan gas, kelestarian bahan bakar dan pengurusan karbon, dan kerjasama strategik.

TotalEnergies dan Kerajaan Sarawak yakin dengan kejayaan masa depan hasil kerap mengadakan dialog, pelaburan stratagik, dan usaha bersama ke arah mencapai matlamat ekonomi dan kelestarian tenaga Sarawak.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat PKS, Dato Sri Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Mathew dan CEO InvestSarawak, Timothy Ong.