LIMBANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan memperuntukkan lebih RM70,000 bagi membantu membaik pulih Rumah Sengat yang terbakar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata selain JPBNS, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota, agensi kerajaan berkaitan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan turut menghulur bantuan.
“Kita membantu membina semula rumah ranap melalui bantuan peralatan daripada JKM sebanyak RM10,000 untuk satu pintu, manakala Pusat Khidmat DUN Bukit Kota memperuntuk RM15,000 bagi satu pintu untuk membeli peralatan baik pulih rumah.
“JPBN melalui JPBB dan Daerah akan menilai berapa kos yang diperlukan untuk membantu membaik pulih, sekiranya ranap keseluruhan kos tertinggi adalah sebanyak RM70,000 dan kemungkinan akan dikaji semula sebab kos barang naik dan saya rasa dalam lingkungan RM85,000,” katanya kepada media ketika menyantuni mangsa kebakaran Rumah Sengat, Batu 8, Jalan Kubong Limbang hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, JKM juga membantu membeli peralatan dapur dengan nilai RM1,000, peralatan tempat tidur RM200 dan membantu membeli peralatan anak bersekolah sebanyak RM300.
Manakala, katanya APM Daerah Limbang turut menyediakan bantuan bakul makanan kepada mangsa kebakaran.
Pada masa yang sama, orang ramai termasuk badan bukan kerajaan dan pihak swasta dialu-alukan untuk membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa kebakaran.
Pada Selasa lalu, sebuah bilik di rumah panjang itu ranap keseluruhan dalam kebakaran yang berlaku jam 3.40 petang.
Kebakaran itu turut menjejaskan dua bilik di rumah panjang terbabit dan kebakaran tidak melibatkan kehilangan nyawa.
