KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Sarawak akan terus mempergiat usaha memberikan bimbingan dan sokongan kepada pemain sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan mereka bersedia serta mampu mengadaptasi sistem e-invois dengan berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pelaksanaan e-invois kini telah memasuki fasa keempat yang melibatkan penyertaan syarikat PKS.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Delegasi LHDN turut disertai barisan kepimpinan kanan termasuk Pengarah Negeri Sarawak, Abang Ehsan Abang Abu Bakar serta pegawai-pegawai operasi negeri.
Menurut Abu Tariq, kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan kepimpinan LHDN di Sarawak kepada Tun Pehin Sri di samping berkongsi perkembangan semasa berkaitan prestasi kutipan cukai serta pelaksanaan pelbagai inisiatif LHDN di negeri ini.
Dalam pertemuan tersebut pihak LHDN turut menerangkan prestasi percukaian di Sarawak serta aktiviti-aktiviti utama LHDN termasuk pelaksanaan e-invois yang kini menjadi antara fokus utama organisasi.
Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan LHDN dalam memperkukuh hubungan strategik dengan institusi negeri serta memastikan pelaksanaan dasar percukaian negara berjalan lancar di peringkat negeri Sarawak.
