KUCHING: Pusat Hidupan Liar Matang (MWC) selain menjadi nadi kepada usaha pemuliharaan juga sebagai tempat penyelamatan, pemulihan dan pendidikan bergabung dalam satu ekosistem kerja.
Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, MWC menjadi hab penyelamatan hidupan liar yang terancam serta spesies haiwan terlindung lain yang menjadi ikon biodiversity Sarawak.
Antara hidupan liar terancam yang dipulihara dan diselamatkan di MWC ialah spesies orang utan, beruang matahari dan burung enggang, katanya semasa berucap pada Program Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2026 di MWC di sini, semalam.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh melancarkan program itu yang bertemakan ‘Tumbuhan Ubatan dan Beraroma: Memelihara Kesihatan, Warisan dan Sumber Ekonomi’.
Abang Arabi berkata, di MWC, SFC melaksanakan kerja pemulihan secara saintifik dengan sokongan pegawai veterina, penjaga hidupan liar dan sukarelawan terlatih.
“MWC bukan sekadar pusat kurungan, tetapi pusat pembelajaran dan harapan — tempat di mana kehidupan diberi peluang kedua, dan masyarakat diberi peluang pertama untukmemahami nilai pemuliharaan,” katanya.
Selain itu, tambahnya, MWC juga berperanan sebagai pusat pendidikan alam sekitar yang menerima ribuan pelawat setiap tahun, termasuk pelajar, penyelidik, dan pelancong.
Tema sambutan tahun ini, tegas beliau, amat relevan dengan mandat SFC yang melindungi hutan bukan sekadar habitat bagi hidupan liar, tetapi juga bank semula jadi yang menyediakan sumber ekonomi dan pengetahuan tradisional.
“Dengan memahami dan melindungi tumbuhan ubatan, kita bukan sahaja memelihara biodiversiti, malah memelihara asas warisan budaya dan kesihatan manusia,” katanya.
Pemuliharaan, tegas beliau, memerlukan jaringan kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan, institusi akademik, sektor swasta dan NGO.
