KUCHING: Penubuhan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan menangani ketirisan subsidi serta mengawal kenaikan harga barang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tekanan kenaikan harga ketika ini berpunca daripada peningkatan kos minyak yang memberi kesan rantaian kepada harga barangan lain.
Menurut beliau, apabila harga bahan api meningkat, kos tenaga turut naik sekali gus menyebabkan harga barangan yang bergantung kepada penggunaan bahan api turut terkesan.
“Situasi ini memerlukan pemantauan rapi oleh kerajaan melalui unit penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung penganjuran “Teresa Teng 31st Memorial Tribute Concert 2026” semalam.
Tambah beliau, langkah Kerajaan Persekutuan untuk menyelaras pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk tentera dan polis dalam OPS TIRIS 4.0 adalah tepat dalam memperkukuh kawalan, khususnya di kawasan sempadan.
Jelasnya lagi, perbezaan harga barangan dan bahan api antara Malaysia dengan negara jiran berpotensi mendorong aktiviti penyeludupan, sekali gus menjejaskan bekalan dalam negara.
“Jika kawalan di sempadan tidak dilaksanakan dengan berkesan, barangan bersubsidi boleh diseludup keluar dan ini akan menyebabkan kekurangan bekalan dalam negara serta menggagalkan usaha kerajaan membantu rakyat,” ujarnya.
