LIMBANG: Fasa pembangunan yang dikecapi oleh rakyat di negeri ini sekarang jauh lebih progresif, inklusif dan moden, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemajuan yang dikecapi itu berteraskan strategi pembangunan mampan pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pencapaian gemilang di bawah kepimpinan Premier itu memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang di sini, semalam.
Awang Tengah berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, negeri ini kini melangkah ke fasa pembangunan yang lebih progresif dan inklusif dan dapat meningkatkan hasil negeri dengan signifikan.
“Dengan itu kita dapat melaksanakan pembangunan infrastruktur, membangunkan sosioekonomi masyarakat, menjaga kebajikan rakyat, membangunkan bidang pendidikan, kemahiran dan mula menceburi bidang-bidang baharu,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Awang Tengah, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua menggesa rakyar Sarawak supaya bersatu padu serta memberi sokongan penuh kepada kepimpinan negeri dalam merealisasikan aspirasi pembangunan jangka panjang negeri ini.
