Kampung Sabena terima suntikan pembangunan RM128 juta

DARO: Kampung Sabena menikmati lonjakan pembangunan ketara apabila kira-kira RM128 juta diperuntukkan sejak 2017 bagi melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi demi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, peruntukan tersebut merangkumi pelaksanaan projek pembangunan menyeluruh yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.

“Sejak 2017 hingga kini, Kampung Sabena menerima kira-kira RM128 juta melibatkan pelbagai projek yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Sekolah Kebangsaan (SK) Sabena 2026 anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, semalam.

Menurutnya, antara projek yang dilaksanakan termasuk pembinaan masjid baharu dan naik taraf masjid sedia ada, pembinaan serta penambahbaikan jalan kampung, pembinaan jeti dan pontoon, jambatan, kemudahan saliran dan pengairan, selain projek pembangunan pertanian serta infrastruktur asas lain.

“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah membuka peluang ekonomi serta memperbaiki taraf hidup penduduk secara menyeluruh,” ujarnya.

Dr Safiee turut memberi jaminan bahawa usaha memperkasa pembangunan di luar bandar akan terus dipergiat selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak bagi memastikan tiada kawasan tercicir daripada arus pembangunan.

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM16,000 kepada PIBG SK Sabena, PIBG SK Nanga Semah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sabena bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan komuniti.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 27 murid SK Sabena sebagai galakan untuk terus cemerlang dalam pelajaran.