KUCHING: Keperluan kemudahan sokongan di Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Umum Sarawak (HUS) terus diperkukuh apabila pusat berkenaan menerima sumbangan 10 unit kerusi khas bernilai kira-kira RM20,000, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap keperluan sektor kesihatan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Sumbangan tersebut bukan sahaja membantu menambah kemudahan sedia ada, malah berperanan sebagai langkah sementara dalam mengurangkan tekanan kekurangan ruang tempat duduk di hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi kepada CRC Hospital Umum Sarawak yang berlangsung di Kuching
Sumbangan tersebut disalurkan oleh Persatuan 38 Yayasan Pencinta Amal sebagai usaha membantu meningkatkan keselesaan pesakit serta ahli keluarga yang menunggu giliran rawatan dan pemeriksaan di fasiliti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan CRC memainkan peranan penting dalam memperkasa penyelidikan klinikal yang menyokong pembangunan rawatan baharu serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Tambahnya, CRC HUS turut mencipta sejarah pada November 2019 apabila menjadi fasiliti pertama di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diluluskan untuk menjalankan ujian klinikal fasa pertama ke atas manusia.
“Pencapaian itu menggambarkan tahap keupayaan tinggi pakar perubatan dan penyelidik tempatan dalam melaksanakan kajian yang kompleks dan berimpak besar kepada bidang kesihatan,” katanya.
