KUCHING: Dalam tempoh kurang 24 jam selepas kebakaran memusnahkan dua rumah di Kampung Buntal, kerajaan segera menggerakkan langkah penyelarasan bagi mempercepatkan pembinaan semula kediaman mangsa terlibat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, fokus kini tertumpu kepada memastikan mangsa tidak berlarutan tanpa tempat tinggal tetap.
Menurut beliau, perbincangan melibatkan beberapa agensi utama seperti Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), pejabat daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan proses bantuan serta pembinaan semula.
“Api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan keseluruhan rumah, jadi tindakan segera amat diperlukan untuk membantu mangsa kembali bangkit,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Kampung Buntal di sini, hari ini.
Dalam masa sama, bantuan awal berbentuk wang tunai hampir RM5,000 telah disalurkan bersama keperluan asas bagi meringankan beban mangsa dalam tempoh terdekat.
Parlimen Santubong, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Nancy menjelaskan, pembinaan semula rumah akan dilaksanakan melalui mekanisme bantuan bencana kerana kediaman tersebut dibina di atas tanah milik sendiri, sekali gus tidak melibatkan skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Walaupun kemudahan penempatan sementara telah disediakan, mangsa buat masa ini memilih untuk tinggal bersama ahli keluarga terdekat sementara menunggu perkembangan lanjut.
