KKR peruntuk RM231 juta naik taraf struktur turapan jalan

SIBU: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM231 juta tahun ini untuk melaksanakan kerja menaik taraf struktur turapan serta penambahbaikan berkaitan di jalan Long Stretch (Durin-Salim) di Lebuhraya Pan Borneo (LPB)

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR mengenal pasti jajaran tersebut untuk dilaksanakan kerja menaik taraf secara menyeluruh.

Pada masa ini, beliau bersama agensi pelaksana sedang melengkapkan proses penilaian teknikal dan penyelarasan pelaksanaan sebelum kerja fizikal dimulakan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Alexander Nanta berkata, beliau mengambil maklum dan memandang serius rungutan orang awam berhubung keadaan laluan di KM28, LPB berhampiran Sibu Jaya, khususnya di jajaran Long Stretch (Durin–Salim), yang dilaporkan tidak rata serta berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

“Malah, saya sendiri bersama pasukan Pan Borneo Sarawak dan pegawai KKR turun ke lokasi berkenaan sebelum ini bagi meninjau keadaan sebenar di jajaran tersebut.

“Tinjauan itu penting bagi membolehkan penilaian dibuat secara langsung, khususnya melibatkan tahap ketidakrataan permukaan jalan serta keperluan tindakan susulan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar komprehensif, mampan serta berupaya menangani isu mendapan dan ketidakrataan jalan secara berkesan.

Beliau menegaskan, kerja-kerja penyelenggaraan interim akan terus dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan dan kebolehlaluan jalan sentiasa terpelihara sehingga pelaksanaan projek menaik taraf secara menyeluruh dimulakan.

Beliau dan seluruh pasukan kementerian komited untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif ini dan akan terus memantau rapi perkembangan semasa supaya keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan, katanya.