Abang Johari sampaikan Pingat Perkhidmatan Setia

LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di Hotel Purnama, di sini, hari ini.

Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, yang berkhidmat selama 33 tahun, mendahului senarai 110 penjawat awam menerima pingat berkenaan pada majlis tersebut.

Kesemua penerima terdiri daripada penjawat awam daripada 13 jabatan dan agensi di Bahagian Limbang, melibatkan sembilan jabatan kerajaan negeri termasuk Pejabat Residen Bahagian Limbang, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) serta Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) selain empat jabatan Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Secara amnya, Pingat Perkhidmatan Setia dianugerahkan kepada penjawat awam bertaraf tetap dalam perkhidmatan awam Sarawak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun secara terkumpul, serta menunjukkan prestasi perkhidmatan cemerlang dan memuaskan, dengan sokongan ketua jabatan masing-masing.

Penganugerahan tersebut juga merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (SHRU) Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi bersama dif-dif kenamaan lain. – Sarawakku