PPWS perkasakan program berimpak tinggi, fokus pembangunan inklusif

LAWAS: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) diiktiraf sebagai tonggak penting dalam memperkasa wanita serta memacu pembangunan sosioekonomi negeri sejak lebih enam dekad penubuhannya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejak ditubuh 1962, PPWS memainkan peranan besar membangunkan komuniti wanita khususnya di luar bandar melalui pelbagai program kemahiran, keusahawanan dan literasi digital.

Katanya, usaha itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

“Wanita perlu terus diperkasa termasuk dalam bidang teknologi dan keusahawanan digital bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya semasa berucap pada Majlis Di Ambang Sambutan Hari PPWS Kali Ke-64 Tahun dan Jalinan Mesra Aidilfitri Daerah Lawas, malam tadi.

Awang Tengah turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan sokongan dan peluang bagi memperkukuh peranan wanita sebagai penyumbang ekonomi dan pemimpin komuniti.

Beliau menggesa agar PPWS terus memperkukuh program berimpak tinggi demi kesejahteraan keluarga dan pembangunan masyarakat.