Talentbank iktiraf UNIMAS peneraju kebolehpasaran graduan

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima pengiktirafan sebagai peneraju kebolehpasaran graduan di bawah Talentbank Graduate Employability Index.

Pengiktirafan Ini satu penilaian komprehensif berasaskan maklum balas serta validasi majikan di Malaysia dan membuktikan program pengajian UNIMAS kekal relevan dan berkualiti tinggi, serta selaras keperluan semasa industri.

Penilaian oleh Talentbank turut mengambil kira persepsi dan pengalaman majikan terhadap graduan, termasuk aspek kesediaan bekerja, kompetensi profesional dan prestasi di tempat kerja.

Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Dr Edris Aden berkata pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan berterusan pihak industri terhadap kualiti graduan UNIMAS.

” Ia juga merupakan hasil usaha bersepadu universiti dalam memastikan pembangunan pelajar sentiasa selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Ts Dr Al-Khalid Othman di majlis pengiktirafan tersebut di Four Seasons Hotel, di sini, malam tadi.

Juga mewakili mereka ialah Timbalan Pengarah di bawah Seksyen Kebolehpasaran Graduan UNIMAS, Dr Mazdan Ali Amaran.