KUCHING: DBKU International X-Games 2026 terus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pelancongan sukan sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat atlet tempatan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara berkenaan berjaya menarik penyertaan antarabangsa serta meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri ini.
“Sarawak merekodkan 437,677 pelawat pada Januari 2026, meningkat 9.27 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan pertumbuhan positif sektor pelancongan.
“Acara seperti ini menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelawat, selain memberi impak ekonomi kepada pelbagai sektor,” katanya ketika merasmikan acara itu di Tebingan Sungai Kuching.
Dalam masa sama, beliau berkata, X-Games turut memberi peluang kepada atlet tempatan mengasah bakat dan menimba pengalaman melalui persaingan dengan peserta luar negara.
Acara yang berlangsung dari 8 hingga 12 April itu menghimpunkan kira-kira 200 atlet dari dalam dan luar negara, melibatkan pelbagai sukan ekstrem termasuk BMX, papan selaju, kasut roda dan jet ski.
Penganjuran tahun ini turut digabungkan dengan Canroll Pro Urban Sports Festival, menjadikannya festival sukan urban yang menggabungkan elemen sukan, budaya dan kreativiti.
