55,266 wanita jalani saringan ujian HPV DNA

KUCHING : Seramai 55,256 wanita di negeri ini telah menjalani saringan ujian HPV DNA bagi pengesanan awal kanser serviks.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, jumlah tersebut direkod sejak tahun 2019 hingga 31 Mac 2026

Manakala bagi seluruh Malaysia, seramai 202,889 wanita telah menjalani saringan ujian tersebut melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Dari jumlah kesuluruhan di Sarawak, 4,710 kes positif HPV, 92 kes pra-kanser dan 10 kes kanser serviks dikenal pasti.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya kita terus buat saringan,” katanya ketika berucap semasa merasmikan program Outreach WCare Pemerkasaan Komuniti Etnik di Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Pada tahun lepas, Kampung Santubong dipilih sebagai tapak projek rintis eliminasi kanser serviks yang pertama.

“Sehingga 31 Mac 2026, 295 wanita (44.8%) telah disaring, dan 34 kes positif telah dirujuk untuk rawatan,”tambah Nancy.

Ujarnya lagi,saringan akan diselesaikan menjelang Jun akan datang dan beliau yakin Santubong akan menjadi kampung pertama di Sarawak yang mencapai matlamat eliminasi kanser serviks.

Di samping itu, program berasaskan komuniti turut diperkenalkan melalui Duta Etnik di mana seramai 20 wakil NGO wanita di Sarawak dilantik bagi meningkatkan kesedaran dan galakan saringan.

Bagi 2026, LPPKN menyasarkan 5,500 ujian HPV DNA dan 4,000 mamogram di Sarawak, dengan sokongan Makmal Molekular LPPKN yang mula beroperasi sejak Februari lalu bagi mempercepatkan keputusan ujian.