LIMBANG: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo akan memulakan penerbangan antarabangsa selepas pembelian tiga pesawat jet Boeing pada Julai ini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, empat destinasi dikenal pasti sebagai permulaan iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta.
Katanya, penambahan Jakarta sebagai destinasi penerbangan antarabangsa AirBorneo bertujuan menggalakkan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RMM Ranggau Limbang hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan agar landasan Lapangan Terbang Limbang yang kini sedang dinaik taraf dipanjangkan lagi landasannya bagi membolehkan pesawat Boeing mendarat di situ.
Katanya, Kuching kini menjadi destinasi pilihan bagi pelancong terutama dari Jakarta untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Bagi memenuhi keperluan pelancong, Premier berkata, Sarawak kini sedang membina Hospital Gleneagles Kuching di Batu Lintang dan Tabuan Jaya.
Menurutnya, semua hospital tersebut akan dilengkapi dengan peralatan canggih bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang terbaik di sini.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi HDC Abdul Yakub Arbi.
