Kepelbagaian kaum asas kekuatan kestabilan Sarawak

SIBU: Kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi teras keharmonian Sarawak perlu terus dipelihara kerana ia merupakan kekuatan dalam menyatukan rakyat serta menjamin kemajuan negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, perbezaan latar belakang bukan penghalang, sebaliknya menjadi asas kepada perpaduan rakyat negeri ini yang hidup dalam suasana saling memahami dan menghormati.

“Di Sarawak, semua kaum berkongsi cabaran dan peluang yang sama,” katanya ketika berucap pada Program Gong Xi Raya anjuran Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew di SMI Park di sini malam tadi.

Abdullah berkata, pengalaman hidup dalam masyarakat majmuk sejak kecil membentuk pandangannya bahawa kepelbagaian adalah kekuatan yang menyatukan, bukan perbezaan yang memisahkan.

Beliau berkata, kadar perkahwinan campur yang tinggi serta jurang ekonomi antara kaum yang tidak ketara membuktikan tahap toleransi dan keharmonian yang kukuh di Sarawak.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut komited melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan luar bandar, pendidikan percuma dan kebajikan rakyat bagi memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak agar terus mempertahankan perpaduan sebagai aset paling berharga negeri ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.