Perjalanan Kuching- Sri Aman dijangka dipendek 1 jam 15 minit, projek berfasa dilaksana

SIMANGGANG: Jarak perjalanan antara Kuching dan Sri Aman dijangka dapat dipendekkan kepada hanya satu jam 15 minit menerusi rangkaian infrastruktur jalan pesisir dan pembinaan jambatan yang sedang giat dilaksanakan Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan sasaran masa perjalanan tersebut bukan sekadar angan-angan, sebaliknya berasaskan perancangan teknikal yang teliti serta pelaksanaan projek secara berfasa.

Katanya, pembinaan Jambatan Sejingkat yang menghubungkan kawasan Samarahan, Sebuyau hingga ke Sri Aman akan memendekkan jarak perjalanan fizikal kepada kira-kira 142 kilometer (km).

Katanya, pengurangan masa perjalanan itu bakal memperkukuh hubungan ekonomi antara Kuching dan Sri Aman, sekali gus merangsang pertumbuhan pembangunan di sepanjang koridor berkenaan.

Tambah beliau, projek Jambatan Batang Lupar 2 serta Jambatan Lingga akan melengkapkan jaringan infrastruktur yang menghubungkan Sri Aman, Samarahan dan Kuching secara lebih efisien.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

Mengulas situasi global yang tidak menentu akibat konflik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada harga bahan api dunia, beliau menjelaskan bahawa Sarawak mengambil langkah awal dengan mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri.

Menurutnya, penggunaan feri yang bergantung kepada diesel menambah kos operasi, justeru penggantian dengan pembinaan jambatan membolehkan rakyat menikmati kemudahan tanpa tol serta lebih menjimatkan.

Mengulas usaha jangka panjang, beliau menegaskan Sarawak kini berada di landasan kukuh dalam mempromosikan tenaga hijau termasuk hidrogen, solar, hidro dan biojisim bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.