Lingga berpotensi hab pengeluaran padi Sarawak

SIMANGGANG: Kawasan Lingga dikenal pasti sebagai lokasi baharu berpotensi sebagai hab pengeluaran padi di Sarawak dalam usaha agresif kerajaan negeri memperkukuh sekuriti makanan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Taj Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi besar negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan beras import yang semakin tidak menentu.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan besar bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan sekali gus memastikan bekalan makanan lebih stabil dan terjamin untuk rakyat Sarawak.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada negara luar seperti Thailand yang kini berdepan masalah iklim sehingga menjejaskan eksport beras mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari mendedahkan potensi besar penggunaan benih padi baharu yang mampu dituai dalam tempoh hanya tiga bulan, sekali gus mencerminkan lonjakan teknologi dalam sektor pertanian negeri.

Katanya, percubaan bersama usahawan tempatan dan Jabatan Pertanian di Kuala Baram menunjukkan hasil memberangsangkan dengan kadar pengeluaran tinggi dalam tempoh singkat.

“Kalau kita boleh hasilkan padi dalam masa tiga bulan dan mencapai sehingga lapan tan sehektar, kita sebenarnya mampu memenuhi keperluan beras negeri,” jelas beliau.

Tambahnya, dengan keperluan Sarawak dianggarkan sekitar 450,000 metrik tan setahun serta potensi kawasan tanaman mencecah 12,000 hektar, negeri ini mempunyai kapasiti besar untuk meningkatkan pengeluaran sendiri.

Namun tegas beliau, kejayaan agenda itu bergantung kepada kesediaan petani untuk berubah dan menerima teknologi moden dalam penanaman padi.

Selain mengambil peluang daripada perkembangan serantau termasuk peningkatan pengeluaran di Sambas, Indonesia yang menjadi pencetus kepada Sarawak untuk bergerak lebih pantas dalam sektor tersebut.