Solar terapung jana 50mw tenaga tambahan – Fadillah

LUBOK ANTU: Pembangunan tenaga di Empangan Hidroelektrik Batang Ai (HEP Batang Ai),
di sini akan diperkukuhkan lagi melalui projek solar terapung hasil kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan syarikat dari China.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, solar terapung itu dijangka menjana kira-kira 50 megawatt tenaga tambahan.

“Gabungan tenaga hidro dan solar akan memperkukuh kepelbagaian sumber tenaga (energy mix) Sarawak yang ketika ini bergantung kepada hidro antara 60 hingga 70 peratus,” katanya kepada media semasa menyertai Program PETRA Skuad Zon Sarawak selama dua hari di Empangan Batang Ai di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak serta ADUN Batang Ai, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SEB, Dato Ir James Ung serta pengurusan tertinggi PETRA dan SEB.

Beliau turut menjelaskan, usaha memperluas grid tenaga di Sarawak termasuk ke Limbang bakal menangani kebergantungan terhadap penjanaan diesel di negeri ini.

“Apabila sambungan grid ke Limbang siap sepenuhnya, kita tidak lagi memerlukan jana kuasa diesel, sekali gus mengurangkan kos dan impak kepada alam sekitar,” jelasnya.

Fadillah turut memuji komitmen Kerajaan Sarawak dan SEB dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, selain menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, negeri dan syarikat utiliti.

Kerajaan, tambahnya, komited dalam memperkukuh pembangunan sektor tenaga negara melalui pendekatan lebih lestari dan berdaya tahan, khususnya di Sarawak.

Lawatan ke Empangan Batang Ai menerusi Program PETRA Skuad Zon Sarawak itu memberi peluang kepada kepimpinan kementerian untuk turun padang menilai sendiri perkembangan semasa serta pelaksanaan projek tenaga di bawah seliaan kementerian, katanya.

Empangan Batang Ai yang lebih 40 tahun beroperasi masih relevan dan mampu terus menyumbang kepada bekalan tenaga negeri apabila jangka hayat operasinya dilanjutkan sehingga 30 tahun lagi, katanya.

Beliau berkata, negara perlu memperluaskan sumber tenaga merangkumi hidro, solar, gas, biofuel dan biomas bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta memastikan jaminan bekalan tenaga yang stabil dan mampu milik.

“Mana-mana negara yang mampu menguasai sumber tenaga akan mempunyai kelebihan untuk bersaing pada masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan projek solar terapung di Semenanjung Malaysia seperti di Tasik Kenyir serta potensi pembangunan di kawasan lombong terbiar dan pemasangan solar bumbung akan terus diperkasa bagi meningkatkan kapasiti tenaga hijau negara.