KUCHING: Seramai 425 usahawan belia menyertai program Sarawak Youth Startup (SY Startup) setakat ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat berkata mereka merangkumi seramai 275 peserta Kohort Satu dan manakala 150 peserta Kohort Dua.
“Lebih 65 peratus peserta Kohort Satu menunjukkan prestasi konsisten dalam perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Meet & Greet SY Startup Aidilfitri di sini, malam tadi.
Dr Ripin berkata, sektor makanan dan minuman (F&B) kekal sebagai penyumbang utama kalangan usahawan SY Startup, diikuti sektor perkhidmatan, pelancongan serta teknologi maklumat.
Menurutnya, terdapat usahawan terbabit berjaya mencatat pendapatan bulanan melebihi RM80,000, manakala sebahagian sedang berkembang dari perniagaan kecil kepada kiosk, trak makanan dan outlet tetap.
Beliau menjelaskan, program tersebut merupakan kesinambungan kursus intensif selama lapan hari di bawah Program Pembangunan Usahawan SY Startup yang memberi penekanan kepada pembangunan ‘knowledge capital’ dalam kalangan peserta.
“Program ini bukan sekadar latihan, tetapi kita turun padang untuk melihat sendiri perkembangan mereka, termasuk isu yang dihadapi supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat,” katanya.
Beliau menambah kementerian turut melaksanakan pemantauan berterusan secara berkala sehingga tiga tahun bagi memastikan kelangsungan perniagaan peserta.
