PETRA Skuad Zon Sarawak melabuh tirai, dua masjid terima CSR

KUCHING: PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 mengakhiri jelajahnya dengan aktiviti terakhir penyerahan sumbangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada dua masjid di Sarawak hari ini.

Platform jelajah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Skuad Zon Sarawak itu diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.

SPAN mengadakan CSR itu dengan menyerahkan sebanyak 30 pili cekap air berjumlah RM1,200 kepada Masjid Darul Malihah, Kg. Bukit Berangan, Kota Samarahan, dalam majlis penyerahan projek-projek siap.

Manakala, sebanyak 40 pili itu yang berjumlah RM 1,600 diserahkan SPAN kepada Masjid Al-Abyad, Taman Matang Jaya di sini, pada malam tadi.

Penyerahan dilaksanakan selepas solat Maghrib malam tadi dihadiri Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli ; Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Air) PETRA, Dato’ Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.

Menerusi CSR itu, setiap masjid tersebut juga menerima sumbangan CSR Wakalah dari TNB sebanyak RM10,000 sebagai pemangkin pelaksanaan awal pendekatan Wakalah di peringkat komuniti.

Penyerahan CSR dari TNB dan SPAN terbabit diterima Pengerusi Masjid Al-Abyad, Zainuddin Sastri.

Inisiatif SPAN ini dalam usaha melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat melalui platform Masjid Rakan SPAN untuk mempromosikan penggunaan air secara berhemat melalui pemasangan produk berlabel cekap air.

Manakala, pelaksanaan CSR Wakalah TNB merupakan fasa awal TNB di Sarawak sebagai rakan strategik nasional bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti.

TNB berperanan sebagai rakan strategik nasional melalui pelaksanaan CSR dan Wakalah, tanpa melibatkan operasi pembekalan tenaga di Sarawak.

Bagi SPAN pula, adalah pertama kali mengadakan CSR penyerahan pili cekap air bagi mempromosikan penggunaan produk yang mempunyai label cekap air dalam kalangan awam untuk memastikan penggunaan dapat dijimatkan dan dilestarikan.

Produk pili cekap air ini adalah dihasilkan oleh pengeluar dan diuji di makmal oleh badan bertauliah bagi memastikan ianya memenuhi piawai sebelum diberi label oleh SPAN.