Projek IAC Bintulu siap Jun ini

BINTULU: Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu kini hampir siap dengan kemajuan fizikal mencecah 98 peratus.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, projek disasarkan siap sepenuhnya menjelang penghujung Jun ini, tertakluk kepada kelancaran penghantaran bahan binaan.

“Selepas siap secara fizikal, agensi kerajaan memerlukan masa untuk membuat persiapan dalaman termasuk penyediaan perabot sebelum premis dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jalan raya berkembar dua hala yang menghubungkan Jambatan Tun Taib ke Lapangan Terbang Bintulu di sini, hari ini.

Sementara itu, Aidel berkata projek jalan tersebut menunjukkan kemajuan fizikal 11.5 peratus.

Beliau optimis projek sepanjang 4.1 kilometer (km) itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal Oktober tahun depan.

“Kita percaya projek itu dapat disiapkan berdasarkan kemajuan pelaksanaan yang mencatatkan 0.25 peratus,” katanya.