MARUDI: Projek membina jalan raya adalah simbol kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam pembukaan laluan untuk meneroka potensi pembangunan baharu dan menghubungkan kawasan pedalaman ke bandar, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, jalan raya itu menjadi nadi dalam mempertingkatkan sosioekonomi penduduk di kawasan Baram.
Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membawa pembangunan yang nyata dan bukan hanya sekadar janji di atas kertas, katanya pada upacara Pecah Tanah bagi Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta Long Lama–Long Panai (MMMLL) di sini, hari ini.
Uggah berkata, projek pembinaan rantaian jalan baharu MMMLL yang bernilai RM3.8 bilion itu bakal memberi impak kepada pembangunan di kawasan Baram dan manfaat kepada 404,679 penduduk di Bahagian Miri.
Projek MMMLL secara keseluruhan akan menyediakan rangkaian perhubungan yang komprehensif, dengan jajaran utama sepanjang 142 kilometer (km), jalan susur yang menghubungkan kampung sepanjang 30.5 km, serta melibatkan pembinaan 11 jambatan utama dan 11 jambatan kecil, katanya.
Menurut Uggah, projek jalan itu akan mengurangkan masa perjalanan antara Miri dan Mulu daripada kira-kira sembilan jam kepada hanya dua jam, sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan melancarkan pergerakan penduduk.
Selain meningkatkan mobiliti dan ekonomi, projek jalan raya itu akan turut menyokong aspirasi pembangunan Kerajaan Sarawak untuk membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah dan membangunkan rantaian nilai pelaburan dan perniagaan., tegas beliau.
Pembinaan rangkaian jalan raya itu, tambahnya, akan dihubungkan dengan Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) fasa dua yang juga sedang giat dilaksanakan.
Ini jelas membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dan Persekutuan dalam rancangannya untuk mewujudkan rangkaian perhubungan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat, katanya.
Selain projek MMMLL, beliau berkata, RECODA melalui HDA turut melaksanakan 43 projek lain yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, merangkumi 25 projek jalan dan jambatan, 17 projek bekalan air, serta satu projek bekalan elektrik.
Projek sosioekonomi COMMUNITY@SCORE, tambahnya, sebanyak 14 projek yang diluluskan, dan dana yang diperuntukkan oleh HAD untuk program ini adalah berjumlah RM5.65 juta.
