STEM platform Sarawak lahirkan berkemahiran tinggi

DARO: Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus menjadi pemacu utama pembangunan masa depan negeri dan negara, sekali gus menuntut usaha berterusan bagi memperluas penglibatan pelajar, khususnya di luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam STEM bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menyokong agenda Sarawak ke arah ekonomi digital dan teknologi tinggi.

Katanya, Kerajaan Sarawak komited memperkasa sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan kemudahan lengkap serta pelaksanaan program berimpak tinggi seperti STEM Catalysts bagi melahirkan generasi kompeten dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program STEM Catalysts 2026 anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Dewan Terbuka SMK TPDPH Normah, hari ini.

Menurutnya, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan di Daro termasuk projek pembinaan bangunan tambahan di SMK TPDPH Normah melibatkan kos RM31.51 juta.

Projek yang bermula 13 Mac lalu dijangka siap pada 12 Mac 2028 itu merangkumi pembinaan blok makmal, bilik darjah, bengkel pendidikan khas (PPKI), dewan serbaguna serta kerja naik taraf kemudahan lain.

Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyerahan projek siap di bawah Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan naik taraf dewan sekolah, surau dan baik pulih Jalan Susur Gajah dengan jumlah keseluruhan RM420,000.

Selain itu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan RTP sebanyak RM100,000 bagi kerja sambungan baik pulih jalan berkenaan pada tahun ini.

Dalam pada itu, sebanyak RM36,000 turut disumbangkan kepada enam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah di kawasan tanah besar Daro, dengan setiap PIBG menerima RM6,000 bagi menyokong aktiviti pendidikan dan pembangunan pelajar.