Peruntukan RM50 juta laksanakan projek jalan Sungai Arip

BINTULU:Pemakaian pakaian adat dan upacara miring perlu terus diamalkan sebagai tradisi masyarakat Dayak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini terutama semasa sambutan perayaan Gawai.

“Amalan ini mencerminkan identiti masyarakat dan menjadi simbol perpaduan yang perlu dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pengerami Ngabang Gawai anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.60 Kakus di sebuah restoran terkemuka di sini, malam tadi.

Menurutnya, pembangunan dan kemajuan negeri perlu bergerak seiring dengan pengukuhan budaya masyarakat kerana tanpa budaya, sesuatu kaum diibaratkan tidak mempunyai identiti.

Beliau mengumumkan peruntukan kerajaan sejumlah RM50 juta bagi projek pembinaan jalan Sungai Arip yang akan ditender Julai ini, melibatkan laluan dari Sekolah Arip ke Rumah Mambang, Rumah Laja dan Rumah Anas.

Beliau turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada jawatankuasa penganjur perayaan Gawai.